5 LANGKAH BUAT BERGEDIL AYAM KELEDEK OREN UNTUK BAYI 1-2 TAHUN.

Pernah buat bergedil guna keledek? Biasanya orang buat bergedil guna kentang kan. Tapi disebabkan kentang habis lepas buat homemade french fries semalam, jadi ummi guna keledek oren untuk buat bergedil ayam hari ni.
Keledek oren ni banyak sangat khasiat dan kelebihannya tau. Pernah baca tulisan Dr. Rizal berkaitan keledek oren?
Ummi kongsikan sedikit tulisan Dr. Rizal ni:
1. Keledek ni nampak macam tak menarik. Tapi dialah superfood. Bagus untuk OTAK. Bagus untuk kulit.
2. Otak kita ni nak sangat vitamin B6. Vitamin B6 ni ada dalam keledek. B6 ni kerjanya lajukan OTAK. Laju macam bullet train.
3. B6 juga akan berperang dengan hormon stres – homocystein. Selamatlah kita bila homocystein turun.
4. Dalam keledek juga banyak vitamin lain. Keledek akan bantu kolagen. Kulit jadi anjal susah berkedut.
5. Makan keledek dapat bantu tidur nyenyak. Kandungan magnesium dalam keledek adalah kuncinya.
6. Iron dalam keledek pula kuatkan sistem imun. Apabila kita kerap ambil keledek kita boleh ucapkan selamat tinggal pada selsema dan batuk. Ucapkan sayonara pada demam.
Haa menarik kan fakta tentang keledek oren ni. Dan baru-baru ni kan, encik suami ada cerita dia tengok rancangan di TV, ada doktor tu bagitau antara faktor mempengaruhi ibu dapat mengandungkan bayi kembar adalah ibu yang suka makan keledek!

Ok jom tengok bahan-bahan yang diperlukan untuk buat Bergedil Ayam Keledek Oren ni:

1. Keledek oren – 3 ketul saiz sederhana
2. Isi ayam kisar – dalam satu cawan
3. Lobak merah kisar – agak-agak je
4. Bawang besar kisar – 1/2 – 1biji
5. Tepung ubi – 3-5 sudu besar atau agak-agak
6. Daun sup – cincang halus.
7. Serbuk keju – ummi guna Fawwaz baby food
8. Sebiji telur
Yang kisar tu ummi guna blender kering je. Boleh juga nak guna food processor atau chopper. Serbuk keju boleh ganti dengan parutan cheese block beqa plastik merah tu, less sodium. Untuk kanak-kanak lebih dua tahun dan orang dewasa, boleh guna garam pink. Tapi ummi buat sekali arung je, tak letak garam langsung, semua orang makan dengan gembiranya.

Ok panjang sangat cerita kan. Jom tengok langkah demi langkah nak buat bergedil ni kat setiap gambar di bawah:
1. Kupas keledek oren dan potong kecil untuk rebus. Boleh juga steam sampai empuk.

Sediakan juga bahan lain, ayam kisar, lobak merah dan bawang besar kisar, daun sup cincang halus, tepung ubi.

2. Rebus keledek oren sampai empuk. Sepatutnya tak perlu banyak air macam ni tau, sikit je cukup dah 😁

Dah empuk boleh la toskan dan lenyek.

3. Campurkan keledek yang siap dilenyek dengan semua bahan tadi, tambahkan serbuk keju untuk bagi rasa masin sikit.

Untuk kanak-kanak dua tahun ke atas atau orang dewasa boleh la tambah garam ye.

4. Bentukkan bulat-bulat. Nak buat bentuk lain pun boleh aje. Part ni anak-anak suka sangat join. Ajak je anak buat bentuk bulat-bulat ni, dapat melatih kemahiran motor halus diorang.
Haa ni Syifaa join buat bulat-bulat.
5. Dah siap bulatkan, sediakan telur untuk salut dan terus goreng dalam minyak panas.
Api jangan kuat sangat ye, bagi semua masak sekata.
Kebetulan pulak mak masak sup selangka hari ni. Kita makan la bergedil ni dengan sup 😋

Eh ni menu untuk baby ke untuk orang besar ni 😁 Hehe..tadi baby twin tido lagi. Ummi layan la makan sup dengan bergedil ni.

Cakk.. ni baby Hasya baru bangun. Baby Hayfaa tido lagi. Ok boleh la cuba buat bergedil keledek oren ni ye. Selamat mencuba 🙂

Leave a Reply