Bayi Susah Tidur : 7 Tips Bayi Mudah Tidur Lena, Ibu Ayah Senang Hati.

Susah ke nak tidurkan bayi? Setiap ibu ayah pastinya ada pengalaman tersendiri sejak pertama kali mendapat bayi. Bayi yang dikandung 9 bulan 10 hari dalam rahim ibu, perlukan masa untuk menyesuaikan diri dengan dunia luar atau dunia sebenar. Jadi ibu ayah perlu tahu cara yang sesuai untuk bayi mudah tidur dan tidur lena.

bayi susah tidur, 7 tips bayi mudah tidur lena

Ummi teringat pengalaman waktu pertama kali menjadi seorang ibu. Anak pertama dilahirkan pada tahun 2011, bayi lelaki. Anak pertama ummi memang sangat susah untuk ditidurkan, kerap menangis dan mudah terjaga dari tidur. Masa tu macam-macam cara kami buat untuk mudahkan bayi tidur. Kami ikut juga cara dan cadangan orang tua, antaranya bedungkan bayi, dodoikan, dan bacakan zikir ‘La ilaha illAllah’.

Ada cara yang sesuai untuk bayi, dan ada juga yang tidak menjadi. Setiap bayi tidak sama caranya. Boleh sahaja kita cuba dan perhatikan yang mana satu sesuai untuk bayi kita mudah tidur lena.

Ada beberapa sebab juga yang mungkin menyebabkan bayi susah tidur. Antaranya perut kembung, cuaca panas, dan tidak selesa dengan suasana sekeliling.

7 Tips Bayi Mudah Tidur Lena.

1. Susukan bayi dengan tenang dan sendawakan bayi.

Susukan bayi dengan susu ibu dalam keadaan tenang. Tidak perlu tergesa-gesa mahukan bayi tidur. Penyusuan susu ibu dapat mengeratkan hubungan ibu dan bayi. Bayi akan rasa tenang dan akhirnya tidur dengan lena.

Bayi tidak pandai sendawa sendiri. Jadi ibu perlu bantu bayi untuk sendawa selepas menyusu.

Tegakkan sedikit badan bayi, letakkan di atas dada dengan kepala bayi di atas bahu ibu. Tepuk lembut belakang badan bayi dengan tangan ibu yang sedikit melengkung seperti bentuk cupping.

Bayi yang tidak disendawakan tidak akan dapat tidur lena dan mudah terjaga.

2. Urutan bayi.

Bayi akan rasa sangat selesa jika diurut mengikut cara urutan yang betul. Urutan ‘I Love U’ di perut bayi menggunakan minyak perut atau balm perut bayi akan memberi keselesaan pada perut dan mengelak bayi dari kembung. Perut yang selesa akan memudahkan bayi tidur dengan lena.

Selain urutan perut, ibu juga boleh lakukan urutan lembut di belakang badan bayi, atas bahu, tangan dan kaki bayi.

Urutan bayi juga dapat merangsang deria sentuhan bayi dan mengeratkan hubungan  ibu dan bayi. Bayi akan rasa tenang, selesa dan mudah tidur lena selepas diurut.

3. Bedungkan bayi.

Bayi biasanya akan mudah terkejut waktu tidur mungkin disebabkan bunyi bising secara tiba-tiba atau ada sebab lain. Bedungkan bayi supaya tidak mudah terkejut dan bayi dapat tidur yang berkualiti.

Jika mahu bedungkan bayi, pilih pakaian yang sesuai untuk bayi, tidak terlalu tebal supaya bayi selesa. Pastikan juga bedung tidak terlalu ketat untuk memberi keselesaan kepada bayi.

4. Tepuk lembut atau dodoikan bayi.

Bayi mungkin akan terkejut bila ibu mula meletakkan bayi di tempat tidurnya. Jangan terus tinggalkan bayi. Ibu boleh cuba tepuk bayi secara lembut dan perlahan atau dodoikan sehingga bayi kembali lena.

5. Bacakan zikir atau selawat nabi, atau pasangkan audio bacaan Al-Quran.

Ibu boleh juga bacakan zikir atau selawat nabi ketika mendodoikan bayi. Bacaan zikir atau selawat secara rutin sewaktu mendodoikan bayi akan membuatkan bayi kenal pada bunyi yang sinonim dengan waktu tidurnya.

Boleh juga pasangkan audio bacaan surah-surah Al-Quran sewaktu menyusukan dan mendodoikan bayi untuk tidur, dan juga sepanjang bayi tidur.

6. Elak bayi tidur lama waktu siang.

Ibu ayah pastinya mahu bayi tidur lebih lama dan lena pada waktu malam. Jadi boleh la elakkan bayi dari tidur lama pada waktu siang.

Ibu boleh banyakkan aktiviti bersama bayi pada waktu siang. Antaranya ajak bayi berbual dan bermain.

7. Pencahayaan suram dan suasana tenang.

Gelapkan atau suramkan cahaya dalam bilik tidur bayi. Selepas diulang secara konsisten, bayi akan terbiasa dan tahu waktu tidurnya.

Cahaya suram atau bilik yang gelap bagus untuk kualiti tidur bayi. Hormon tidur (melatonin) akan terhasil dalam keadaan bilik tidur yang gelap tanpa cahaya.

Ibu ayah juga perlu pastikan suhu di dalam bilik tidak terlalu panas dan tidak terlalu sejuk untuk keselesaan bayi.

Semua tips di atas memang ummi praktikkan  untuk semua anak-anak ummi. Ada yang cepat berkesan, ada juga yang mengambil masa untuk berhasil.

Setiap anak tidak sama, ada yang susah untuk ditidurkan, ada yang mudah sahaja untuk tidur.

Untuk anak ketiga ummi sekarang, berusia 2 tahun 6 bulan, ummi ada ‘pembantu’ yang memudahkan lagi anak tidur dan tidur lena.

Sejak tahun lepas, 2018, ummi mula kenal dengan balm Sleep Time dari Tasneem Naturel. Balm ini berasaskan essential oil yang membantu anak untuk mudah tidur dan tidur lena.

Apapun setiap cabaran  yang dilalui sebagai ibu ayah pasti ada hikmah yang manis disebaliknya. Setiap satu pastinya menjadi pengalaman terindah dalam hidup kita.

Dan pastinya ada ganjaran dari Allah untuk ibu ayah yang sabar dan bertakwa, kerana anak-anak itu amanah untuk kita tunaikan sebaiknya di dunia ini.

 

Leave a Reply